Lamunan Pagi

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang"


( sumber gambar )

Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk bernafas dan masih mampu berdiri. Pagi ini diberi kesempatan oleh Allah untuk menikmati suasana waktu pagi yang sunyi dan sepi di jalan-jalan sekitar sini. Hanya ada segelintir umat manusia yang keluar awal untuk mencari rezeki. Semuanya mengejar waktu, kenderaan dan kaki dipandu serta diarak laju. Aku hanya memerhati sambil berfikir akan itu dan itu.

Aku sebenarnya seorang yang pendiam, cuma bila diransang aku mampu bicara sampai lupa dunia. Kerna itu kadang-kala silap dalam bicaraku, mohon dimaafkan. Aku suka memerhati, melihat gerak geri. Ohh.. orang ini begini, ohh, dia ini begini.. hmm.. macam ni rupanya. Cuma mungkin orang sekeliling belum kenal benar dengan sifatku. Atau mungkin seorang dua yang tahu dan kenal siapa aku. 

Dalam perjalanan tadi, dihadapanku, ada seorang anak sekolah sedang membonceng motosikal bersama ayahnya. Si anak di belakang senget kedudukannya, mungkin kosong mindanya. Lihat pada si ayah, tekun, tajam matanya, mungkin sedang memikirkan sesuatu, yang berkaitan itu dan ini. Ayah walau lagaknya selamba, tapi dihatinya penuh sesak, memikirkan tentang keperluan, anak, isteri dan dirinya sendiri. 

Mak selalu cerita, " dulu masa adik dengan abang kelas malam, abah tak tidur selagi kamu berdua tak balik. Dia akan baring atau duduk di luar rumah sambil minum kopi atau kemas apa-apa yang dia nak." Baru ku tahu, lewat pulang kami sebenarnya meresahkan hati seorang ayah dan ibu. Dia tidak pernah bicara jangan macam itu atau macam ini kerna dia percaya dan tahu di mana kami dan bersama siapa kami. Mak kata juga, " selalu kalau jam satu dua pagi, kalau ada kenderaan lalu, dan kenal pasti itu kami, dia akan bilang, ayang pergi bukak pintu, adik dengan abangdin dah balik.." hanya itu.

Ada yang kata, eh.. anak-anak tak elok balik lewat malam, aku tahu mulut situ sana sini mula bicara. Eh kena jaga anak perempuan ni, bukan boleh percaya sangat. Mulut orang akan terus bicara tanpa ambil tahu apa sebenarnya yang kita lalui. Namun bagi aku, sangat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang bukan seperti keluarga orang lain. Mungkin kami adik beradik di didik dari awal, untuk hidup berdikari, untuk hidup berpegang pada janji, untuk hidup biar berbudi dan jujur pada diri. Kepercayaan orang harus kita jaga dan tepati, kerana hidup manusia berpegang kepada janji. Mak dengan abah selalu tekankan hal ni. Mungkin sebab itu luarnya abah macam tak ambil peduli namun sebaliknya dialah yang sangat menjaga anak-anak sampai ke akar umbi.

Aku dibesarkan dalam keluarga yang bekerja, abah pemandu bas, dan mak menjaga kesihatan orang tua-tua di RSK. Mereka bekerja dalam masa yang tidak menentu, pernah dua-duanya tiada di rumah saat malam, pernah mereka berdua tiada di rumah saat hari cuti persekolahan. Aku pernah memberontak, tapi ditenangkan kembali. Diterangkan kita hidup begini dan begini, hidup semua orang tidak sama antara satu sama lain. Tapi lama-lama didikan yang mereka beri buat kami semua berdikari. Mereka didik untuk peroleh sesuatu kita harus melakukan sesuatu. Hidup ini tiada yang percuma, kerna itu kami adik beradik bukan jenis meminta, tapi buat cara sendiri antara bekerja atau menyimpan wang saku sekolah sendiri. Mak dan abah telah berjaya mendidik anak-anak mereka. Empat lelaki dan seorang perempuan, bukan mudah untuk menyiapkan keperluan dan kehendak antara satu sama lain, aku diberi kesempatan untuk melihat kesusahan mak dan abah kerna aku anak terakhir, dan aku melihat saat mereka menyediakan keperluan abang-abang untuk sambung belajar dan bantu apa yang kurang saat mereka mula menempuh hidup baru. Alhamdulillah kini, tiga terunanya sudah berkerja dan miliki keluarga sendiri, dan mereka punya lima orang cucu sekarang, seorang anak terunanya masih bujang dan sedang menyelesaikan tanggujawab sebagai seorang pelajar, sama juga anak tunggal gadis mereka yang masih berusaha menyelesaikan tanggujawab sebagai seorang pelajar. Alhamdulillah...

Masa kini aku sudah besar dan mampu berdikari, saat aku masih sendiri ini, masaku banyak terluang untuk keluarga, tok dan tokwan. Ini adalah insan yang bertanggujawab mendidik diri ini. Harapanku hanya satu, moga diberi masa dan waktu, saat aku berjaya capai di mercu, mereka-mereka ini ada disampingku. Serta aku dipeluang dan waktu untuk buatkan mereka merasai kejayaanku. Hanya itu. Mereka bagaikan nyawa, susah dan sedih mereka separuh dari diriku. Moga nanti, bila sampai masa untuk aku dijemput seorang putera kacak, (suami) dia mampu menerima diri ini dan setiap ahli keluarga ku dengan hati yang lapang dan terbuka. 

Semua ini buat aku terfikir, bagaimana pula nanti cara dan jalan aku untuk mendidik anak-anakku. Ditambah dengan zaman serba moden dan canggih. Mendengar sahabat dan teman berbicara tantang sekolah anak-anak sekarang yang entah apa-apa, berani melawan, tidak endah akan kata, buatkan aku terfikir dimana tergelincirnya didikan yang dibawa semua pihak kepada mereka. 

No comments: